Thursday, 6 October 2011

Dakwah Tidak Terhenti




Maksud dakwah ialah mengajak manusia kembali kepada Allah. Dari segi syariat, dakwah ialah mengajak manusia beramal dengan hukum-hukum Allah. Dari segi hakikat, dakwah bermaksud mengajak hati mereka tunduk kepada Allah dan kenal hakikat diri mereka. Apabila hati seseorang telah tunduk dan kembali kepada Allah, nescaya ia akan melakukan apa yang diperintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.
Jangan seseorang dai’e itu hanya mengajak manusia kepada hukum-hukum Tuhan semata-mata sehingga mengabaikan dakwah kepada hati mereka. Hati itu adalah raja yang mengawal anggota-anggota yang lain. Oleh itu, untuk membaiki manusia, hati itulah yang perlu diperbaiki terlebih dahulu.
Imam Hassan al-Banna berkata:
“Apabila seorang pekerja keretapi yang tugasnya adalah memindahkan landasan dan mengubah haluan keretapi tersebut, ia tidak perlu mengangkat dan membawa keseluruhan keretapi tadi lalu diarahkan ke haluan yang dikehendaki. Tetapi cukuplah hanya dengan menggunakan sebatang besi (tongkat) kecil sebagai tongkat pengubah haluan. Maka dengan menyentuh atau mengumpil sedikit sahaja, dia boleh memindahkan landasannya tanpa perlu bersusah payah.
“Makrifatullah adalah ibarat tongkat pengubah tadi. Apabila hati manusia tersentuh dengan makrifat kepada Allah, maka berubahlah hati manusia dari satu keadaan ke satu keadaan. Apabila hati seorang insan berubah, akan berubahlah hati manusia secara keseluruhan, lantas berubah pula satu umat. Sekiranya kita mahu membuat pembaikan, perbaikilah hati manusia itu dahulu dengan memperkenalkan Allah kepadanya dengan pengenalan yang sebenar-benarnya.”
Apabila ia telah makrifat kepada Allah, maka ia akan mengenal hakikat dirinya yang sebenar. Bahawa ia tidak memiliki apa-apa kekuatan, ia buta, pekak, bisu, jahil… yang Maha Kuat, Maha Bijaksana, Maha Mengetahui, Maha Melihat dan Maha Mendengar hanyalah Allah, yang Wujud hanyalah Dia.
Makrifatullah akan melahirkan sifat kehambaan yang tinggi kepada Allah. Setiap saat ia merasa Allah bersamanya, melihat dan memerhati segala perbuatannya. Setiap saat dia merasa berada dalam nikmat dan kasih sayang Allah, baik dalam gerak laku, makan minum dan sebagainya. Ia melihat semua datang daripada Allah. Hatinya makin tunduk dan halus dengan Tuhan. Sehinggakan, kalau lupa kepada Allah, ia merasa bersalah dan berdosa.

No comments:

Post a Comment